Perdana si Kereta Rasmi Kerajaan
Kegunaan rasmi kerajaan Malaysia
Di bawah dasar automotif Malaysia, kereta rasmi kerajaan mestilah dari kalangan kereta nasional.[3] Memandangkan Proton merupakan satu-satunya syarikat pengeluar kereta tempatan tulen yang menghasilkan kereta yang cukup besar bagi golongan atasan iaitu Perdana dan Waja, Perdana dipilih sebagai kereta rasmi kerajaan bagi kegunaan para pegawai atasan termasuklah Perdana Menteri Malaysia. Kecuali Sarawak,[4] Proton Perdana V6 Executive merupakan kereta rasmi yang digunakan.Kontroversi kos penyelenggaraan
Kualiti buatan serta kos penyelenggaraan Perdana V6 Executive mula dipersoalkan berikutan satu kontroversi pada Julai 2008 apabila kerajaan negeri Terengganu pimpinan Barisan Nasional membeli 14 buah kereta Mercedes-Benz E200 Kompressor, yang bertujuan untuk menggantikan kereta 2004 Perdana V6 Executive sedia ada sebagai kereta rasmi kerajaan negeri.[5] Ketua Setiausaha Negeri Terengganu Mokhtar Nong menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berikutan kekurangan kebolehbergantungan Perdana, dengan mendakwa bahawa kereta-kereta Perdana tersebut memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi, terutamanya pada kotak gear, semasa digunakan dalam perjalanan jauh.[5] Dua daripada Perdana V6 tersebut memerlukan kos baik pulih masing-masing sejumlah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sejak 2004.Proton menafikan tuduhan kos penyelenggaraan yang tinggi oleh kerajaan negeri Terengganu, dengan mengatakan kos penyelenggaraan berkala (penggantian minyak enjin dan penapis minyak) bagi Perdana ialah sekitar RM200. Kontroversi tersebut telah menyebabkan timbul tuduhan mengenai penyelewengan penyelenggaraan oleh kerajaan Terengganu,[6] memandangkan kos penyelenggaraan berkala terkumpul pagi sebuah Perdana V6 biasa pada tempoh yang sama jauh lebih rendah seperti yang didakwa, serta berikutan tiada tuntutan waranti yang dibuat oleh kerajaan negeri sejak Oktober 2004 bagi salah satu kereta yang rosak.
Negeri Perak di bawah pimpinan Pakatan Rakyat juga menyatakan perkara yang sama mengenai Proton Perdana, dan seterusnya telah membeli kereta-kereta Toyota Camry bagi menggantikan Perdana. Adalah dikatakan bahawa selepas 3 tahun kos menservis kereta tersebut sangat tinggi, maka membeli Toyota Camry boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri. Kerajaan Pulau Pinang juga telah membuat kenyataan akan menggantikan kereta Perdana V6 sedia ada dengan kereta baharu jika perlu, dengan menyatakan perkara yang sama bagi kereta yang rosak, dengan kos baik pulih kereta yang rosak mencecah sehingga lebih kurang RM30,000.[7] Selangor juga telah melakukan perkara yang sama pada Januari 2009, dengan menggantikan kereta Perdana V6 dengan Camry.
Kerajaan negeri Sabah telah membeli 38 buah kereta Volvo S80 sebagai pengganti kepada kereta Perdana sedia ada mereka.